
KUALA LUMPUR, 9 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi atas kemenangan besar Parti Liberal Demokratik (LDP) dalam Pilihan Raya Umum Jepun.
- PM Anwar ucap tahniah kepada PM Jepun Takaichi atas kemenangan besar LDP.
- Mandat LDP dianggap mencerminkan keyakinan terhadap visi pembaharuan ekonomi Takaichi.
- Anwar menekankan komitmen meneruskan kerjasama strategik Malaysia-Jepun dalam ekonomi, hijau dan keselamatan.
Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata mandat kukuh itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap visi Takaichi untuk pembaharuan ekonomi Jepun serta keupayaannya menyuntik semangat kepada generasi baharu pengundi.
Jelas Perdana Menteri, Takaichi pernah mengadakan lawatan ke Malaysia sempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober 2025, hanya beberapa hari selepas beliau mula memegang jawatan.
Beliau menunjukkan komitmen dan kesungguhan tinggi dalam membincangkan isu-isu penting yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara, termasuk ketahanan ekonomi, peralihan hijau dan keselamatan maritim.
“Malaysia kekal komited untuk meneruskan momentum dalam keutamaan ini serta bidang-bidang penting lain.
“Beliau pernah menyatakan bahawa beliau akan “bekerja, bekerja, bekerja, bekerja dan bekerja” demi Jepun.
“Saya juga menantikan kerjasama yang erat dan berterusan bersama Perdana Menteri Takaichi bagi membawa perkongsian strategik komprehensif Malaysia-Jepun ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: