
KUALA LUMPUR, 24 Februari– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai Mesyuarat Pengurusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mendapatkan maklum balas berhubung isu utama sektor industri, pelaburan serta keperluan tenaga kerja asing.
- Perdana Menteri sertai mesyuarat pengurusan MITI untuk mendapat maklum balas isu sektor industri dan pekerja asing.
- Mesyuarat membincangkan pelaksanaan dasar dan polisi agar berjalan lancar di peringkat tertinggi.
- Fokus kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi serta penyelarasan dasar ekonomi negara.
- ART tidak dibincangkan; perbincangan tertumpu pada pelaburan masuk dan keperluan tenaga kerja asing domestik.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata MITI merupakan kementerian ke-11 yang dikunjungi Perdana Menteri dalam siri sesi libat urus bersama kementerian, setakat ini.
Menurut beliau, sesi perbincangan ringkas diadakan bersama pengurusan kanan kementerian bagi membincangkan beberapa perkara substantif yang memerlukan perhatian di peringkat tertinggi, khususnya bagi memastikan pelaksanaan dasar dan polisi berjalan lancar.
“Perdana Menteri telah melawat 10 kementerian sebelum ini dan MITI merupakan kementerian ke-11 dalam siri lawatan tersebut.”
“Beliau mahu mengetahui isu-isu yang ingin disampaikan oleh pihak kementerian, termasuk perkara berbangkit yang memerlukan perhatian beliau. Kita turut membangkitkan beberapa perkara yang sangat substantif bagi membolehkan pelaksanaan dasar dan polisi dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat berkenaan.
Lawatan tersebut dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan untuk mengukuhkan penyelarasan dasar, khususnya dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memastikan keperluan tenaga kerja industri dipenuhi selaras dengan keutamaan ekonomi negara.
Dalam pada itu, Datuk Seri Johari memaklumkan perkara berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
“Mesyuarat lebih tertumpu kepada isu industri, termasuk pelaburan yang masuk serta keperluan domestik terhadap tenaga kerja asing,” katanya.