
BUKIT MERTAJAM, 20 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan segelintir pihak pembangkang yang mempersoalkan usaha kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga minyak global.
- Pembangkang mempersoalkan usaha kerajaan, dikatakan bermotif politik.
- Kerajaan memantau kenaikan harga minyak setiap hari.
- Kenaikan harga minyak berpunca daripada konflik antarabangsa termasuk peperangan.
- Seru semua pihak bekerjasama dan salurkan bantuan dana kepada golongan susah.
Beliau berkata tindakan tersebut hanya bermotifkan politik semata-mata dan memburukkan lagi keadaan seolah-olah kerajaan tidak mengambil sebarang langkah menangani isu berkaitan.
“Ada orang lagi menggunakan kesempatan ini dalam keadaan ekonomi jatuh. Minyak tersekat, bukan salah kita.Ini masalah perang dunia. Masih ada lagi beberapa orang panggang maki hamun kita dalam keadaan sekarang.
“Ini dunia politik…kalau tidak terkawal. Semua perlu bekerjasama cari penyelesaian bagi rakyat. Insaf, kamu ada dana sedikit, bagi membantu yang susah.
“Jadi sebab itu kita kena bekerjasama dan pakat. Jadi saya perlu menjelaskan perkara ini kerana kita melakukan pemantauan setiap hari. ..setiap hari kita pantau”, kata Datuk Seri Anwar.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Santai Akhir Ramadan bersama Pimpinan Komuniti Permatang Pauh Di Pulau Pinang.
Menurutnya lagi, kenaikan harga minyak yang berlaku ketika ini berpunca daripada konflik antarabangsa termasuk peperangan.