fb fb fb fb fb

PM sangkal dakwaan kaum India terpinggir nikmati pelbagai kemudahan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan kaum India terpinggir daripada menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata pelbagai inisiatif telah dilaksana untuk komuniti tersebut seiring pendekatan kerajaan membantu semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

"Kita ambil pendekatan untuk membantu (Bumiputera) tetapi ini tidak bermakna zero-sum game, tolong Melayu maknanya kita pinggirkan (golongan lain), tidak.

"Sebab itu saya terangkan dengan masyarakat India janganlah marah atau cemburu tentang program Bumiputera. Tanya apa yang perlu kita lakukan, kewarganegaraan orang yang berhak, yang ketinggalan… 50, 60 tahun dulu lahir di Malaysia tak dapat (kewarganegaraan). Itu kita selesaikan dan ini kali pertama yang selesai begitu banyak oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Soal Jawab bersama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di TV1.

Jelasnya, peruntukan RM100 juta turut disalurkan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi program pembangunan sosioekonomi masyarakat India, selain Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) berjumlah RM30 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2024.

Temu bual khas hampir sejam bersama Perdana Menteri Malaysia Ke-10 itu dikendalikan penyampai RTM Sayed Munawar Sayed Mustar, Pasha Abdul Rahim (Bernama TV), Muhammad Zulfitri Yusof (Awani) dan Azaria Tagaya (TV3).

ROSLINA BINTI DIN