PUTRAJAYA, 14 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan cadangan membawa tenaga pengajar Bahasa Inggeris dari Singapura, hanya sebagai sukarelawan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman.
Jelas Anwar, cadangan itu ibarat skim bantuan daripada segi diplomasi antara negara dan bukan bermaksud Malaysia mahu melantik guru bahasa Inggeris dari republik berkenaan.
"Boleh ada skim dari Singapura seperti mana skim bantuan ataupun daripada segi hubungan diplomasi antara negara untuk mereka membantu, bukan kita pilih guru dari Singapura.
"Dengarlah dulu, kadang-kadang jadi pakar tiga minit kemudian terus lontar di media sosial dan faktanya salah.
"Apa yang salah, salahnya ialah kononnya kita sekarang akan melantik guru Bahasa Inggeris dari Singapura...itu salah.
"...Yang saya bicarakan dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong ialah mengadakan Skim Bantuan atau melantik seorang sukarelawan yang dibayar oleh pemerintah Singapura untuk pergi ke kawasan terutama miskin bandar, desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk mengajar Bahasa Inggeris," kata Anwar ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di PICC di sini.
Terdahulu, tular di plaform media sosial, seolah-olah cadangan Perdana Menteri itu menunjukkan Malaysia kekurangan tenaga pengajar yang berkualiti serta cubaan memasukkan Komunis ke dalam negara ini.