KUALA LUMPUR, 2 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri mewakili Kerajaan MADANI turut mendoakan agar Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta seluruh Kerabat Diraja dikurniakan keafiatan berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
"Semoga baginda kekal qarar memayungi negara dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara.
"Ia seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini," menurut hantaran itu.
Datuk Seri Anwar turut menyatakan bahawa beliau serta sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan.