KUALA LUMPUR, 2 Jun- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyampaikan sembah takzim kepada Sultan Ibrahim menerusi hantaran Facebook.
"Patik dengan penuh sembah takzim bersama keluarga menjunjung kasih dan mendoakan agar pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku sentiasa diberkati Allah SWT, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan yang sempurna serta bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kedaulatan dan kebijaksanaan.
"Daulat Tuanku!," menurut hantaran itu.