fb fb fb fb fb

PM ziarah Tun Dr Mahathir di IJN

FOTO TWITTER ISMAIL SABRI

KUALA LUMPUR, 22 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau tiba di IJN pada 5.35 petang dan meluangkan masa kira-kira 20 minit sebelum kelihatan meninggalkan perkarangan itu dengan menaiki Toyota Vellfire berwarna putih dan diiringi kenderaan polis.

Tidak lama kemudian, pada 6.12 petang menerusi ciapan di Twitternya, beliau berharap agar keluarga bekas perdana menteri itu terus tabah.

"Saya turut bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah di IJN tadi dan berharap keluarga Tun Dr. Mahatir terus tabah," katanya.

Terdahulu, beberapa petugas media dari pelbagai agensi, mula berkampung di pusat perubatan itu sejak pukul 12 tengah hari tadi bagi memantau perkembangan bekas Perdana Menteri itu.

Dr Mahathir dimasukkan sekali lagi ke IJN, namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak IJN mengenai keadaan beliau.

Pada 3.52 petang, jurucakap mengesahkan Ahli Parlimen Langkawi itu berada di Unit Rawatan Koronari (CCU).

Untuk rekod, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 16 Disember 2021 untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut, sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.

Selepas 16 hari keluar dari IJN, Dr Mahathir sekali lagi dimasukkan ke IJN kerana perlu menjalani prosedur perubatan elektif.

Media Baharu