fb fb fb fb fb

PM: Hari Pekerja iktiraf peranan pekerja sebagai penggerak utama pembangunan negara

KUALA LUMPUR, 1 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan beliau kepada semua pekerja di negara ini sempena Sambutan Hari Pekerja hari ini.

Anwar berkata kerajaan akan terus menghargai serta mengiktiraf setiap peranan pekerja dimainkan dalam menjadi penggerak utama kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara.

"Selamat Hari Pekerja 2024, kita raikan Hari Pekerja bukan sebagai agenda pesta tahunan. Kita raikan kerana mengiktiraf peranan setiap pekerja di peringkat serendah mungkin sehingga peringkat pengurusan.

"....kerana mengiktiraf peranan mereka, sumbangan mereka, maka saya harap Hari Pekerja pada tahun ini akan memberikan rangsangan supaya pengiktirafan itu dari segi ganjaran, dari segi rasa hormat dan ehsan kepada pekerja itu dapat kita tingkatkan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berserta video durasi 53 saat dalam ucapannya sempena Hari Pekerja 2024.

Pada tahun ini, Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada majlis itu, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memperkenalkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan bagi memacu misi strategik 3K (kebajikan, kemahiran dan keberhasilan) untuk mengangkat martabat pekerja di Malaysia.

Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata dasar julung kali diadakan ini mengandungi Tiga Teras, 11 Strategi, 48 Prakarsa, Lima Pemacu Perubahan dan Dua Pemangkin Dasar.

Kerangka dasar ini seterusnya akan menjadi panduan bagi menghasilkan Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang lengkap menjelang Rancangan Malaysia Ke-13.

GRACE AISYAH KEDAYAN