fb fb fb fb fb

PM harap sektor swasta teliti semula skim gaji pekerja

Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 16 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sektor swasta meneliti semula mekanisme yang lebih sesuai untuk pemberian gaji munasabah kepada pekerja-pekerja.

Anwar berkata, langkah tersebut perlu bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup golongan berkenaan.

"(Pengumuman kenaikan gaji penjawat awam sebentar tadi) adalah mesej untuk pihak swasta (supaya) mengambil kira (gaji pekerja) kerana gaji minimum bagi penjawat awam kini sudah melebih RM2,000.

"Saya harap sektor swasta akan meneliti semula (gaji) supaya tekanan kepada rakyat, golongan pekerja itu dapat dikurangkan, dengan ada skim kenaikan gaji yang lebih munasabah, terutama syarikat-syarikat yang mencatat keuntungan besar. Tak ada sebab kenapa gaji kurang daripada RM2,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 bertemakan 'Perkhidmatan Awam MADANI' di sini hari ini.

Menurut Anwar kenaikan gaji penjawat awam adalah untuk memberi pengiktirafan kepada mereka bukan hanya atas khidmat, tetapi prestasi penjawat awam harus diperbaiki dan dipertingkat.

Kenaikan gaji itu dilakukan melalui transformasi yang radikal dan peralihan yang besar memandangkan ia melibatkan soal kebertanggungjawaban, dan kenaikan itu melibatkan prestasi, bukannya time-based semata-mata.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA