fb fb fb fb fb

PM Anwar lawat selatan Thailand hari ini

Foto Fail: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya, Srettha Thavisin/ BERNAMA

SADAO, Wilayah Songkhla (Thailand), 27 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke sini hari ini, dengan fokus untuk membincangkan isu berkaitan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand dengan rakan sejawatannya, Srettha Thavisin.

Lawatan itu yang merupakan atas jemputan Srettha, antara lain bertujuan bagi melihat kemajuan projek jajaran jalan menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.

Anwar akan diiringi beberapa menteri, timbalan menteri termasuk Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Perdana Menteri dijadual tiba di bangunan baharu CIQ Sadao sekitar 11 pagi (waktu tempatan, Malaysia 12 tengah hari) dan dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Srettha.

Kedua-dua pemimpin kemudian akan melawat tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, yang merupakan projek dua hala yang sedang dilaksanakan Malaysia dan Thailand.

Perdana Menteri kemudiannya akan menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan Perdana Menteri Thailand di sebuah hotel, di sini sebelum kedua-dua pemimpin bertolak ke ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, Malaysia bagi melawat fasiliti itu.

ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao merupakan sempadan penting kedua-dua negara dan antara pintu keluar dan masuk utama perdagangan dan pelancongan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Tahun lepas, jumlah dagangan dua hala melalui ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao menjangkau jumlah RM33.67 bilion, sementara kemasukan pelancong warganegara Thailand ke Malaysia melalui sempadan berkenaan bagi tempoh Januari hingga Jun 2023 ialah seramai 212,691 orang - BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI