fb fb fb fb fb

PM akui peranan komuniti Cina dalam pembangunan ekonomi

Datuk Seri Anwar ketika ucaptama Konvensyen Usahawan Cina Sedunia ke-17 di sini, hari ini/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 September- Kerajaan memberi jaminan akan terus mengutamakan peningkatan landskap ekonomi, memupuk persekitaran yang kondusif dalam menarik pelaburan dan inovasi.

Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta komuniti usahawan Cina tempatan dan antarabangsa, memberi pandangan bagi tujuan itu.

Beliau berkata dalam ketidaktentuan persekitaran dunia ketika ini, usahawan Cina di peringkat global boleh memainkan peranan lebih besar dalam menjaga kerjasama ekonomi serantau, memastikan keselamatan rantaian bekalan penting serta mempromosi agenda global pembangunan sosio ekonomi rantau ini.

“Dari Asia Tenggara ke Asia Timur, Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan Afrika, usahawan Cina telah bekerjasama rapat dengan semua pihak dan telah meletakkan asas untuk menjalin hubungan perniagaan dan ekonomi yang lebih mendalam dan kukuh merentas sempadan negara.

"Di Malaysia, kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan masyarakat Cina negara ini dalam perkembangan sosioekonomi, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan perindustrian," katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucaptama di Konvensyen Usahawan Cina Sedunia ke-17 di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kabinet dan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur WCEC Ke-17, Tan Sri Low Kian Chuan.

WCEC Ke-17 yang berlangsung selama tiga hari, bermula semalam, menghimpunkan lebih 4,000 usahawan tempatan dan luar negara.

Konvensyen dengan tema "Mengimaginasi Semua Masa Depan" memberi tumpuan kepada langkah menangani trend dan isu global yang berterusan, termasuk anjakan struktur dalam politik, ekonomi dan kewangan global; teknologi yang mengganggu, kepelbagaian dan keterangkuman serta perubahan iklim.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai hubungan antara Malaysia dan China, Perdana Menteri berkata kedua-dua negara telah membina asas yang kukuh dalam sektor utama dan inovatif baharu yang akan memacu ekonomi kedua-dua negara ke hadapan.

Tambahnya, menerusi lawatan Perdana Menteri China, Li Qiang pada Jun lalu turut mengukuhkan lagi persahabatan yang erat dan saling menghormati antara Malaysia dan China.

ZEHRA BINTI ZAMBRI