fb fb fb fb fb

Raja Zarith Sofiah berkenan kurnia sumbangan kepada 1,133 murid SK AU Keramat

Foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 10 September- Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan mengurniakan sumbangan kepada 1,133 murid dalam kumpulan B40 serta sumbangan cek kepada Sekolah Kebangsaan (SK) AU Keramat di sini.

Sumbangan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor itu dikurniakan semasa Seri Paduka Baginda berangkat mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah pada 10.15 pagi disambut oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ruji Ubi.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Jabatan Perdana Menteri) Datuk Abd Shukor Mahmood dan Guru Besar SK AU Keramat Zulkaimi Mohammad.

Pada lawatan itu, Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyaksikan persembahan tarian tradisional oleh Kumpulan Gemalai Tari SK AU Keramat, selain melihat hasil kraf seperti beg dan bingkai gambar yang dihasilkan beberapa murid sekolah berkenaan.

Seri Paduka Baginda turut beramah mesra dengan guru dan murid sekolah itu sebelum berangkat meninggalkan acara lawatan pada 11.10 pagi. - BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI