fb fb fb fb fb

PM akhiri lawatan kerja ke Mesir, sepakat kedaulatan Palestin perlu dijamin

(Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya / FOTO BERNAMA)

KAHERAH, 23 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan rasmi ke Mesir hari ini.
 
Keutamaan kunjungan Perdana Menteri ke Kaherah bagi mendengar sendiri pandangan kerajaan Mesir mengenai konflik di Gaza meskipun Malaysia mempunyai pandangan yang tersendiri.

Jelas Anwar, Mesir mempunyai peranan yang agak kritikal dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan dan perubatan ke Gaza.

"Kesengsaraan dialami masyarakat Gaza itu sudah berada pada tahap yang sangat parah jadi itu yang kita sepakat. Pihak Mesir telah berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan penyaluran bantuan kemanusiaan dan kita memberikan kerajasam dan sokongan terhadap langkah yang dibuat oleh Mesir.

"Jaminan kita bahawa kita akan teruskan usaha dan upaya menghubungi negara barat dan timur untuk menggesa supaya tercapai keamanan dan bantuan kemanusiaan dengan matlamat yang jelas iaitu pertahankan hak dan kedaulatan negara Palestin dan kalau ini tidak tercapai penyelesaian dan perdamaian tidak akan kekal dan ini pendirian rakan-rakan kita termasuk Mesir," katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan kerja ke Kaherah, Mesir.

Tambah Anwar, walupun fokus utama lawatan kerja ke Mesir bagi membincangkan permasalahan di Gaza, namun isu masalah serantau yang lain turut dibincangkan bersama Presiden Mesir.

"Sebahagian perbincangan itu tentu usaha mempertingkat kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan perusahaan, pelaburan dan beliau telah mengarahkan Menteri-Menteri termasuk Menteri-Menteri Luar, Menteri Keselamatan supaya meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dan kerjasama strategik dan saya telah meminta Menteri Luar menyegerakan pertemuan dengan jawatankuasa yang boleh mengenal pasti hal-hal yang boleh kita tingkatkan," kata Anwar.

Mengakhiri lawatan itu, Anwar turut berterima kasih kepada kerajaan Mesir kerana sudi menerima kunjungan delegasi Malaysia walaupun diberikan notis dalam tempoh yang singkat. 

Program lawatan rasmi Perdana Menteri bermula dengan perjumpaan bersama diaspora Malaysia, pada Ahad.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN