fb fb fb fb fb

PLUS tutup Smart Lane Kulai–Senai mulai 22 September

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup laluan Smart Lane dari Kulai ke Senai mulai 22 September / Foto PLUS

KUALA LUMPUR, 18 September – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup laluan Smart Lane dari Kulai ke Senai di Kilometer 26.5 hingga Kilometer 19.3 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan bermula 22 September ini.

PLUS dalam kenyataan memaklumkan, penutupan itu perlu bagi memberi laluan kepada Projek Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya Utara-Selatan (Fasa 1 Pakej B) di laluan Senai Utara ke Kulai, Johor, yang kini sedang giat dijalankan.

Sepanjang tempoh pembinaan, dua lorong sedia ada akan kekal dibuka bagi memastikan aliran trafik berjalan seperti biasa dan meminimumkan gangguan kepada pengguna lebuh raya.

Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini, selain mematuhi papan tanda serta arahan petugas di lokasi terbabit.

Untuk maklumat trafik semasa dan bantuan, pengguna boleh mengakses Pembantu Maya PUTRI, aplikasi X@plustrafik, paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi terpilih atau menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya berlaku kecemasan.

PLUS turut merakamkan penghargaan kepada semua pengguna lebuh raya atas kesabaran dan kerjasama sepanjang pelaksanaan projek demi keselamatan, keselesaan dan kemudahan bersama.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN