fb fb fb fb fb

PKPS 2.0: LHDN kutip RM512.6 juta

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Julai-RM512.6 juta berjaya dikutip sepanjang pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0, bermula 6 Jun tahun lalu hingga 31 Mei lepas.

Menteri Kewangan Dua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan, jumlah tersebut melibatkan taksiran cukai yang dilaporkan sebanyak RM1.29 bilion.

Beliau memaklumkan, sepanjang tempoh tersebut juga, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah meluluskan lebih 140,000 permohonan pengakuan sukarela melibatkan lebih 100,000 kes pembayar cukai individu.

Manakala, hampir 28,000 kes lagi membabitkan syarikat dan selebihnya lain-lain kategori.

"KDM pula telah menerima sebanyak 1,542 permohonan pengakuan sukarela daripada pembayar cukai individu dan syarikat, dengan jumlah cukai yang diikrarkan adalah sebanyak RM229 juta.

"Jumlah ini juga telah melebihi sasaran yang dijangkakan iaitu sebanyak 500 permohonan dengan nilai kutipan cukai berjumlah RM200 juta.

"Hasil cukai yang dikutip daripada PKPS, akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan seperti mana lain-lain hasil cukai yang dikutip oleh Kerajaan", katanya demikian ketika menjawab pertanyaan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa di Parlimen hari ini.

PKPS 2.0 di bawah LHDN memberi peluang kepada pembayar cukai tampil secara sukarela melaporkan pendapatan, pelupusan aset dan sebagainya.

Sementara itu, Amir Hamzah memaklumkan kerajaan tidak berhasrat untuk melanjutkan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 memandangkan tempoh yang diberikan selama setahun sudah mencukupi bagi pembayar melaporkan pendapatan.

Dalam masa sama, pihak LHDN dan JKDM telah merangka strategi bagi meningkatkan pematuhan cukai.

"Strategi ini akan meningkatkan tahap kepatuhan entiti perniagaan terhadap perundangan cukai tidak langsung melalui pendekatan audit yang komprehensif dan bersifat mesra pelanggan yang dinamakan Audit Verifikasi Pematuhan (AViP).

Elemen program PKPS 2.0 akan diteruskan dalam AViP ini di mana sekiranya hasil penemuan audit mendapati berlakunya ketirisan hasil, individu dan syarikat akan dinasihati untuk mengikrar dan membayar kekurangan cukai, duti atau levi melalui pengakuan sukarela. Insentif yang ditawarkan adalah remisi penalti sebanyak 100% atau 50% bergantung kepada tempoh bayaran oleh individu dan syarikat tersebut", katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD