fb fb fb fb fb

PJKM bantu ringankan kos sara hidup rakyat

TANJONG KARANG, 22 Januari - Rakyat di Selangor khusus di Tanjong Karang berpeluang menikmati potongan harga sehingga 50 peratus di bawah Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata inisiatif kerajaan melalui program tersebut adalah bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutama pengguna dalam kalangan berpendapatan rendah.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata program yang bermula selama dua hari bermula hari ini melibatkan penjualan barangan asas seperti telur ayam, ikan segar, cili merah, bawang besar, sardin dan susu.

"Program hari ini kita buat 2 hari dan minggu depan kita buat di DUN Permatang pula juga dua hari. Jadi konsep yang kita guna pakai adalah konsep 'turun padang', memudahkan rakyat membeli barang keutamaan. Di situ rakyat boleh lihat jualan di sini lebih murah berbanding di luar," katanya kepada media di sini.

Sementara itu, para peniaga yang ditemui, Mohd Faiz Endan dan Farizul Kassim melahirkan rasa syukur kerana program berkenaan dapat sambutan menggalakkan dari pembeli sekali gus mengharapkan ia dapat diteruskan dari semasa ke semasa dalam membantu penduduk dan peniaga mencari punca pendapatan.

"Daripada program ini, dapatlah kita membantu keluarga yang kurang berkemampuan berbelanja, untuk mereka beli barang keperluan dengan harga yang lebih murah," kata Faiz.

"Saya harapkan banyak lagi NGO serta agensi lain terlibat,agar banyak peluang orang ramai membeli dengan harga murah," kata Farizul pula kepada RTM.

Program jualan keluarga Malaysia Parlimen Tanjong Karang melibatkan DUN Sungai Burung dan DUN Permatang.

 

Media Baharu