PUTRAJAYA, 14 November – Undang-undang berkaitan sektor maritim perlu dipinda dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dengan perkembangan dan keperluan semasa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata beberapa undang-undang sedia ada sudah lapuk kerana diwarisi dari zaman penjajahan British dan memerlukan penyesuaian.
"Banyak perkembangan telah berlaku dan ada peruntukan undang-undang yang mungkin tidak relevan lagi, seperti dokumentasi digital yang belum diiktiraf dalam perundangan sedia ada.
"Banyak proses melibatkan kecekapan sektor maritim kita dari aspek perdagangan laut, perkapalan, dan kru perlu dikaji dan diperbaiki," katanya pada sidang media selepas menutup Bengkel Ekonomi Maritim anjuran Institut Maritim Malaysia (MIMA), di sini.
Loke turut berkongsi contoh pindaan undang-undang maritim, merujuk kepada pindaan Ordinan Perkapalan Saudagar (Pindaan) 2016 yang diluluskan pada Mei 2016 untuk mengharmonikan perundangan maritim negara dengan komuniti maritim antarabangsa.