fb fb fb fb fb

Pindaan taraf kewarganegaraan, elak miliki dwi kewarganegaraan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Pindaan pemberian taraf kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang bertujuan mengelakkan anak-anak pemastautin tetap (PR) daripada memiliki dwi kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bagi anak-anak pemegang status pemastautin tetap yang merupakan warga asing sepenuhnya, mereka boleh menuntut kewarganegaraan asal ibu bapa mereka.

Kelahiran anak-anak ini perlu dilaporkan oleh ibu bapa kepada kedutaan negara asal masing-masing.

“Walaupun mereka PR kita, tanggungjawab ibu bapa adalah melaporkan kelahiran anak di kedutaan mereka. Ini bagi mengelakkan anak-anak pemastautin tetap memiliki dua kewarganegaraan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa kerajaan memberi fokus kepada pemastautin tetap yang tidak memiliki permit masuk atau dokumen perjalanan negara asing.

Golongan ini termasuk anak angkat individu yang lahir sebelum merdeka dan telah berada di negara ini sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.

Katanya, kerajaan komited untuk mempermudahkan serta mengutamakan permohonan kewarganegaraan bagi kategori ini, dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memuktamadkan garis panduan yang jelas dan telus, terutama berkaitan Perkara 15A dan 19(1) Perlembagaan Persekutuan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN