KOTA KINABALU, 16 Oktober - Beberapa premis baharu akan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok bermula 1 Januari 2025.
Tindakan ini menjadikan keseluruhan 28 kawasan telah digazetkan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang bertujuan melindungi kesihatan awam.
Mereka yang ditemui RTM rata-rata menyambut baik langkah kerajaan sebagai usaha mempromosikan gaya hidup lebih sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Saya berharap para pengunjung, terutamanya perokok dan mereka yang menghisap 'vape' rokok elektronik, akan lebih peka terhadap peraturan larangan merokok di premis-premis tertentu," kata Pemilik Restoran, Effni Makhtar
Aming Chui turut bersetuju dengan penguatkuasaan tersebut, mengatakan bahawa ia akan menjaga persekitaran yang lebih sihat dan mengurangkan risiko penyakit.
"Penguatkuasaan ini baik untuk mengelakkan penyakit yang disebabkan oleh rokok," katanya.
Seorang lagi individu, Albert Dicklos, berpendapat bahawa usaha ini akan menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.
"Amat bagus, dan saya menyokong usaha kerajaan dalam perkara ini," katanya.
"Ia satu kejayaan kerajaan bagi orang yang tidak merokok," kata Dany Langup yang menyatakan penghargaan terhadap usaha kerajaan.
Revon Anson menambah bahawa tindakan ini mencerminkan sensitiviti kerajaan terhadap kesihatan awam.
"Kita boleh mengurangkan pembuangan sampah merata-rata, terutamanya puntung rokok," ujarnya.
Antara premis yang kini diwartakan termasuk dobi, bangunan tempat kerja kerajaan dan swasta, pusat hiburan, kawasan hospital, klinik, lif, tandas awam, tempat makan, dan kedai berhawa dingin.
Akta 852 dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu dengan mengenakan syarat lebih ketat terhadap peniaga rokok dan vape termasuk larangan mempamerkan produk terbabit secara terbuka di premis perniagaan.
Akta itu juga menggariskan larangan penjualan rokok dan vape melalui dalam talian ke atas semua platform bagi mengelakkan ia dibeli oleh Orang Belum Dewasa (OBD) iaitu individu berusia di bawah 18 tahun.
Selain itu, produk rokok dan vape juga dilarang dijual melalui mesin vending dan tidak boleh dijual di kawasan institusi pendidikan atau institusi pengajian tinggi (IPT).
Produk rokok dan vape juga dilarang dijual di pasar jualan atau mana-mana pasar jualan bersifat sementara seperti Uptown, Downtown, pasar malam dan sebagainya.