PUTRAJAYA, 25 Julai – Falsafah dan pemikiran tokoh negarawan Tun V.T. Sambanthan dalam perpaduan masyarakat majmuk kini diangkat semula melalui Pertandingan Pidato Mengenang Sejarah dan Jasa Tun V.T. Sambanthan, yang akan berlangsung November ini.
Bukan sekadar mengenang sejarah, pertandingan ini memberi ruang kepada generasi muda untuk menyelami idealisme dan harapan beliau terhadap perpaduan nasional yang tulen.
Program anjuran Koperasi Permodalan Tanah Berhad (NLFCS) dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM) dan dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memberi tumpuan bukan hanya kepada biografi Tun Sambanthan, tetapi kepada falsafah kepimpinan, pandangan beliau terhadap masa depan negara, serta interaksi beliau dengan tokoh-tokoh negara seperti Tunku Abdul Rahman dan lain-lain negarawan pada zamannya.
Menurut Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasamy, pertandingan itu lebih daripada sekadar mengingati sejarah, ia merupakan platform untuk generasi muda menghayati idealisme, nilai toleransi dan semangat patriotisme yang dibawa oleh Tun V.T. Sambanthan.
"Kita tidak mahu pelajar sekadar menghafal fakta sejarah. Kita mahu mereka mengupas pemikiran dan semangat yang digerakkan oleh Tun Sambanthan nilai toleransi, kesederhanaan, dan keberanian menyuarakan perpaduan sebagai asas negara," katanya dalam sidang media hari ini.
Pertandingan akan berlangsung secara berperingkat dan terbahagi kepada empat zon seluruh negara, dengan pusingan awal dijadualkan pada minggu pertama dan kedua bulan November. Pusingan akhir dijangka berlangsung pada 30 November 2025.
Program itu juga susulan, kejayaan Program Mengenang Jasa Mendiang Tun V.T. Sambanthan yang dianjurkan KPN dan ANM pada 15 Julai lalu, yang dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Dalam ucapan beliau, Saraswathy menekankan bahawa sumbangan tokoh seperti Tun V.T. Sambanthan bukan sahaja wajar dikenang, tetapi harus menjadi teladan dan inspirasi kepada generasi hari ini.
Pertandingan tersebut bukan sekadar pertandingan pidato, malah satu inisiatif penting dalam menghidupkan semula semangat perjuangan tokoh perpaduan negara, dengan mesej jelas bahawa sejarah tidak boleh dilupakan dan ia perlu dijadikan asas membina Malaysia yang lebih bersatu.