KUALA LUMPUR, 25 Julai - Beberapa laluan utama di pusat bandar raya dijangka dilencongkan esok sempena penganjuran satu perhimpunan melibatkan lima lokasi sekitar ibu negara.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, lencongan akan dilakukan secara situasional, bergantung kepada keadaan semasa bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.
Antara laluan dijangka terlibat ialah Jalan Maharajalela/susur ke Jalan Syed Putra, Jalan Kinabalu/pusingan U Public Bank, Bulatan Sultan Mohamad, Jalan Kinabalu/susur ke terowong Bukit Aman dan Jalan Kinabalu/susur ke Bulatan Dato’ Onn.
"Selain itu lencongan turut melibatkan atas Bulatan Dato’ Onn (kiri dan kanan), Bulatan Dato' Onn (dari arah Jalan Parlimen, Jalan Sultan Salahuddin/Bulatan Dato' Onn, Jalan Kuching/susur ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Kinabalu (dari arah Bulatan Segambut ke arah Bulatan Dato Onn) dan Jalan Kinabalu (dari arah Masjid Negara ke arah Bulatan Dato Onn).
"Turut terlibat dengan lencongan, termasuk Jalan Lebuh Pasar Besar/Jalan Hang Kasturi, Jalan Hishamudin/Jalan Raja, Jalan Parlimen/Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman/Jalan Tun Perak dan Jalan Lebuh Ampang/ Jalan Tun Perak," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perhimpunan berkenaan dijadualkan melibatkan Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan Kompleks SOGO, sebelum peserta dijangka berkumpul di Dataran Merdeka.
Polis menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan awal dan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan.
Pengguna jalan raya juga diingatkan untuk mematuhi arahan anggota polis trafik di lapangan.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di 03-2026 0267/69.