(Rakyat Malaysia selamat tiba dari Ukraine/BERNAMA)
JOHOR BAHRU, 3 Mac - Prinsip asas integriti wilayah serta kedaulatan sesebuah negara seharusnya tidak dicabuli oleh mana-mana negara.
Itu pendirian Malaysia terhadap Piagam PBB mendepani isu Ukraine - Rusia, tegas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan menyatakan Malaysia menerima pakai resolusi Tindakan Keganasan ke atas Ukraine walaupun tidak bersetuju sepenuhnya dengan kandungan resolusi tersebut.
(Saifuddin pada sidang media di Johor Bahru hari ini)
Resolusi itu diluluskan pada sesi khas ke-11 semalam.
"Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan Ukraine dan Rusia. Kita juga memahami latar belakang geopolitik kenapa perkara yang berlaku di Ukraine sekarang jadi sedemikian rupa. Atas prinsip menghormati kedaulatan, kemerdekaan dan integriti wilayah Ukraine maka kita mengundi untuk menyokong resolusi yang telah dibentangkan," kata Saifuddin.
Beliau menyatakan demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata sekiranya masih terdapat rakyat Malaysia yang kemungkinan berada di Ukraine mereka boleh berurusan dengan Kedutaan Malaysia berhampiran di Warsaw, Poland bagi mendapatkan sebarang bantuan.
Menyentuh kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor, Saifuddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional Pahang berharap serangan bersifat peribadi dan memburukkan individu lain ketika berkempen dielakkan.
Pendekatan berhemah ini diterapkan kepada calon yang mewakili parti berkenaan.
Menurutnya, jentera PN kali ini juga dilihat lebih bersedia berbanding pada PRU DUN Melaka lalu.