fb fb fb fb fb

Liputan 4G di Sarawak meningkat 82.86 peratus pada suku keempat 2021- Zahidi

KUALA LUMPUR, 3 Mac- Peratusan liputan rangkaian 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak meningkat kepada 82.86 peratus pada suku keempat 2021 berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku kedua 2020.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata sejak 31 Januari 2022, 83 tapak menara baharu dan 2,576 stesen pemancar telah dinaik taraf di negeri berkenaan.

Jelasnya liputan jalur lebar 4G di Parlimen Baram, Betong, Hulu Rajang dan Serian juga bertambah baik selepas pelaksanaan JENDELA Fasa 1.

"Terdapat sebanyak 105 lokasi telah dipasang dengan jalur lebar satelit termasuklah 100 lokasi di kawasan Rumah Panjang di Parlimen Hulu Rajang. Pembinaan 60 buah menara baharu di parlimen Hulu Rajang pula telah mula dilaksanakan dan dijangka siap secara berperingkat bermula suku keempat 2022 hingga suku ketiga 2023. Manakala terdapat sebanyak 15 stesen pemancar sedia ada di parlimen Hulu Rajang yang sedang dinaik taraf di bawah Projek Penaiktarafan Stesen Pemancar dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2022," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sehingga kini, terdapat tiga lokasi WiFi Komuniti di rumah panjang iaitu Kampung Uma Daro, Kampung Baloi Ukap dan Kampung Sungai Asap.

“MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) akan mengkaji keperluan untuk meneruskan projek Wi-Fi Komuniti atau menyediakan jalur lebar teknologi lain pada masa hadapan,” katanya.

Zahidi berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Wilson Ugak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) mengenai jumlah Wi-Fi komuniti yang dipasang di rumah panjang serta status menaik taraf menara telekomunikasi di kawasan Parlimen Hulu Rajang menerusi program JENDELA.

                                                   (Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini)                                                    

Media Baharu