KUALA LUMPUR, 3 Mac- Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membelanjakan RM201,250 bermula Januari tahun ini bagi menangani konflik manusia-harimau melibatkan operasi mengesan serta menangkap harimau belang di daerah Gua Musang, Kelantan.
Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kos tersebut melibatkan perolehan peralatan dan keperluan logistik bagi melaksanakan aktiviti penangkapan dan pengawalan.
"Operasi ini masih dijalankan di kawasan seluas 88 kilometer persegi menggunakan beberapa kaedah bagi mengesan harimau belang di kawasan terbabit seperti memasang sebanyak 64 unit perangkap kamera di sekitar kawasan perkampungan dan denai laluan hidupan liar bagi memantau kehadiran harimau belang serta memantau dan mengesan menggunakan drone di lokasi-lokasi yang mudah dilihat seperti jalan-jalan balak," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
(Menteri Tenaga dan Sumber, Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan)
Tambahnya lagi, kakitangan Jabatan PERHILITAN juga ditempatkan di lokasi untuk memantau serta membuat rondaan kawalan.
Penduduk tempatan turut bekerjasama melaporkan kepada petugas operasi sekiranya terdapat kesan baharu kemunculan harimau belang.
Pada 7 Januari lalu, seorang lelaki Orang Asli Anek Along maut dibaham harimau pada kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai.