fb fb fb fb fb

Peniaga informal, PKMS yang terjejas banjir akan dibantu- PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac- Peniaga tidak formal serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas dengan banjir di Kelantan dan Terengganu akan dibantu kerajaan.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata golongan petani dan penternak juga turut tidak terlepas daripada perhatian kerajaan.

Menerusi catatan di Facebook hari ini beliau berkata Keluarga Malaysia turut bersedih dan simpati dengan penduduk terjejas banjir.

“Keluarga Malaysia turut bersedih dan simpati dengan mangsa banjir. Justeru bantuan-bantuan untuk mereka akan diteruskan,” katanya.

Semalam, beliau sempat meluangkan masa meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) dan keadaan semasa banjir di Terengganu dan Kelantan serta menyerahkan sumbangan kepada mangsa yang terlibat.

Perdana Menteri turut menzahirkan kesyukuran dengan perkembangan banjir semasa di Terengganu yang kini beransur pulih.

“Alhamdulillah keadaan banjir di Terengganu beransur pulih. Di Kelantan keadaan banjir masih belum reda. Terdapat 22 pusat pemindahan sementara yang masih beroperasi,” katanya.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa menyampaikan Bantuan Wang Ihsan dan barang keperluan untuk mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Batu 23, Hulu Terengganu, semalam)

Media Baharu