KUALA LUMPUR, 3 Mac- Kajian menyeluruh mengenai hala tuju dan keberkesanan Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanpa Tunai atau JKMPay akan dibuat selepas setahun pelaksanaannya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun memaklumkan, projek rintis yang dilaksana bermula Februari tahun lalu hanya melibatkan Kedah, Perlis, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Selangor.
Tambah beliau, pelaksanaan JKMPay di negeri-negeri lain akan ditangguh sehingga laporan kajian berkenaan dibentangkan.
“Memandangkan projek ini masih lagi projek rintis, maka apabila telah dilaksanakan selama enam bulan sejak Februari sehingga bulan Julai 2021, pada bulan Oktober telah siap diadakan kajian melibatkan 1,066 peserta.
Sebanyak 76 peratus bersetuju kaedah tanpa tunai memudahkan, 80 peratus bersetuju kaedah tanpa tunai lebih selamat berbanding tunai dan 80 peratus menyatakan kawalan perbelanjaan lebih baik melalui kaedah tanpa tunai," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat di sini.
(Rina Harun ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat)
Mengulas lanjut, Rina berkata, sesi libat urus dan konsultasi telah diadakan bersama pihak berkaitan termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memberi penerangan berkenaan program tersebut.
"JKMPay antara lain bertujuan membantu penerima untuk mengurus dan mengawal pembelanjaan wang bantuan secara berhemah serta memastikan penerima memenuhi keperluan asas harian.
Sistem bayaran elektronik JKMPay itu bukan sahaja digunakan oleh golongan OKU tetapi juga penerima bantuan di bawah JKM," katanya lagi.