fb fb fb fb fb

Petisyen Parlimen Gua Musang: Permohonan batal dua petisyen dibenarkan

KOTA BHARU, 8 Februari - Mahkamah Pilihan Raya Kota Bharu hari ini membenarkan permohonan pempetisyen iaitu wakil kepada calon Barisan Nasional Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 untuk membatalkan petisyen terhadap responden kedua dan ketiga.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili responden pertama yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim.

Manakala Peguam Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly mewakili responden kedua, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab Fatah Hasbullah dan ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Mohd Azmi Mahmood.

Mohd Hafarizam berkata, pihak pempetisyen tidak mahu meneruskan petisyen terhadap responden kedua dan ketiga dengan menawarkan kos sebanyak RM5,000.

Ahmad Hanir memohon kos untuk membatalkan petisyen itu sebanyak RM10,000 yang dirasakan munasabah.

Terdahulu, Ahmad Hanir dalam hujahan berkata, menerusi petisyen itu, pempetisyen mendakwa berlaku pelanggaran yang dikatakan satu tempat tidak wujud sebagai saluran mengundi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chiku.


(Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kiri) dan Datuk Mohd Hafarizam HarunĀ (kanan) yang mewakili
Mohd Azmi Mahmood hadir pada sesi pendengaran petisyen PRU15 di Mahkamah Tinggi
Kota Bharu, Kelantan)

Sementara itu, Roslan dalam hujahan berkata, selepas mendengar hujahan ketiga-tiga pihak, permohonan untuk menarik balik petisyen bagi responden kedua dan ketiga yang dinyatakan jelas bahawa kedua-duanya tidak membabitkan responden pertama.

Justeru, petisyen pilihan raya bagi responden kedua dan ketiga dibatalkan dengan berkongsi kos sebanyak RM6,000.

Beliau juga menetapkan 26 Februari ini untuk keputusan awal bantahan petisyen.

Pada 3 Januari lalu, wakil kepada calon BN Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan PRU-15 bagi Parlimen itu.

Petisyen berkenaan difailkan oleh Mohd Azmi Mahmood di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Media Baharu