fb fb fb fb fb

MARITIM Terengganu gagalkan cubaan seludup masuk 410,000 rokok putih

FOTO BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 8 Februari- Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (MARITIM) Terengganu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 410,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai hampir RM250,000 di Muara Kuala Besut pada pukul 3.00 pagi kelmarin.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata melalui hasil risikan, operasi khas di perairan negeri ini berjaya mengesan sebuah bot enjin sangkut yang bergerak dalam keadaan mencurigakan namun berjaya meloloskan diri setelah menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia.

"Operasi khas ini kita buat di sepanjang perairan negeri Terengganu. Kita berpindah-pindah, kita pantau semua tempat mendarat, tempat yang tidak diwartakan untuk mereka mendarat. Mereka mencari tempat-tempat strategik yang boleh masuk kenderaan ke kawasan itu dan bot boleh berlabuh di tepi pantai," kata Mohd Khairulanuar kepada pemberita RTM hari ini.


(FOTO BERNAMA)

Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan jeti berhampiran mendapati sebuah lori dengan muatan rokok seludup itu telah ditinggalkan suspek sewaktu melarikan diri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (D), Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Media Baharu