TELUK INTAN, 5 Mei - Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM2.5 juta kepada Majlis Perbandaran Teluk Intan bagi melaksanakan kerja naik taraf infrastruktur di sekitar bandar itu yang akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata peruntukan tersebut merupakan jumlah paling besar pernah diluluskan untuk kawasan Teluk Intan.
Katanya, kerja menaik taraf melibatkan Medan Selera Glutton Square, pusat penjaja di Jalan Maharani, Pasar Besar Teluk Intan dan Taman Rekreasi Riverfront.

"Saya ingin tegaskan di sini...bagi kita keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat adalah keutamaan kita semua dan semua projek yang saya umumkan melibatkan 45 skop projek yang agensi pelaksana iaitu Majlis Perbandaran Teluk Intan dan kementerian akan memantau secara rapi untuk pastikan semua tidak ada pembaziran tidak ada pemborosan dan tidak ada ketirisan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Pasar Besar Teluk Intan, di sini.
Dalam pada itu, Ko Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan memaklumkan, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM80 juta bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Teluk Intan.
Beliau berkata, apabila siap kelak projek RTB yang melibatkan kawasan sepanjang 6 kilometer itu mampu menangani masalah banjir yang sering melanda bandar tersebut.
"Projek tebatan banjir dijangka akan bermula tahun ini dan siap menjelang tahun 2026.
"Ini akan melibatkan kerja-kerja yang berat, sebab itu dijangka siap dalam tempoh lama, tetapi kita akan pastikan projek ini siap dalam tempoh penggal ini juga,"kata Ko Ming.