KUALA LUMPUR, 5 Mei - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyenaraikan lapan negeri yang mudah dipengaruhi fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca kering dan panas melampau berdasarkan pengalaman kejadian El-Nino tahun 2015-2016.
Negeri terbabit adalah Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.
SPAN berkata menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, kebarangkalian berlakunya El-Nino adalah sekitar 57 peratus pada bulan Jun hingga September 2023 dan meningkat kepada 62 peratus pada September sehingga November 2023.
Justeru, SPAN menggesa semua pengendali operator air menyediakan pelan persediaan bagi menghantar lori tangki ke kawasan yang dijangka mengalami gangguan bekalan air.

"Jika perlu, menempatkan tangki-tangki statik di kawasan kritikal atau tinggi (bertekanan rendah) yang dikenal pasti menghadapi kekurangan bekalan air semasa kemarau dan waktu puncak," kata SPAN menerusi kenyataan.
Operator air juga diminta untuk bersiap siaga dengan jentera, kenderaan, alat kelengkapan dan tenaga kerja untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan seberapa segera sekiranya berlaku kerosakan di loji atau insiden paip pecah.
Span turut mengingatkan operator air untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi di peringkat persekutuan dan negeri bagi menjamin keselamatan sumber bekalan air mentah dari segi pencegahan pencemaran sumber air dan memastikan kecukupan bekalan dan tekanan air bagi tujuan pemadaman kebakaran.
"Sekiranya perlu, bantuan penghantaran lori tangki berserta tenaga kerja daripada operator air di negeri lain bagi mengurangkan impak kekurangan bekalan air di suatu negeri," katanya.
Mengenai paras air empangan, SPAN berkata ketika ini, enam empangan air yang terletak di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menunjukkan penurunan paras simpanan sumber air mentah namun masih berada di atas daripada paras kritikal.