
KUALA KANGSAR, 4 April – RM296,000 diluluskan bagi kerja pemuliharaan bangunan hospital pertama di Kuala Kangsar yang kini berada dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford.
- Perdana Menteri Anwar berkata kelulusan itu sebahagian usaha menambah baik kemudahan pendidikan, khususnya projek kecil yang memberi impak terus kepada pelajar.
- Beberapa kelulusan untuk SMK Clifford termasuk kelulusan bas baharu dan kerja baik pulih diluluskan sebelum kedatangan beliau.
- Cek diserahkan kepada Old Cliffordians’ Association bagi tujuan pemuliharaan bangunan bersejarah yang dibina pada tahun 1890.
- Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri terlibat bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan itu sebahagian usaha berterusan menambah baik kemudahan pendidikan, khususnya melibatkan projek berskala kecil yang memberi impak langsung kepada pelajar.
“Beberapa kelulusan untuk SMK Clifford ini telah dibuat sebelum saya datang, termasuk meluluskan bas baharu. Kemudian beberapa kelulusan untuk kerja-kerja baik pulih telah diluluskan Menteri Pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford Kuala Kangsar dan bekas pelajarnya di sini hari ini.
Pada majlis sama, cek cura berjumlah RM296,000 diserahkan kepada Old Cliffordians’ Association (OCA) bagi tujuan pemuliharaan bangunan bersejarah tersebut yang dibina pada tahun 1890.
Jelas Datuk Seri Anwar lagi, Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri juga terlibat bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan berjalan lancar.