KUCHING, 11 Oktober - Kementerian Kerja Raya (KKR) berpuas hati dengan peningkatan peruntukan untuk kementerian itu dalam Belanjawan 2026 yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata peningkatan itu terutamanya bajet pembangunan sebanyak RM9.607 bilion , berbanding RM9.327 bilion pada tahun ini.
"Ini peningkatan yang banyak. Kita akan gunakan untuk perbelanjaan terutama penyelenggaraan jalan utama, cerun, pemasangan lampu jalan dan sebagainya yang sangat-sangat memerlukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di sini.
Beliau turut menyambut baik peningkatan peruntukan kepada kontraktor kecil Bumiputera kelas G1 hingga G4 kepada RM700 juta dan RM30 juta disediakan kepada 115 Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya bagi kerja pembaikan kecil.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan KKR menerima peruntukan keseluruhan RM10.692 bilion, iaitu kenaikan 3.3 peratus berbanding RM10.349 bilion pada 2025.