KUALA LUMPUR 11 Oktober - Institusi pondok dan tahfiz disaran menguasai teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, institusi itu perlu melakukan penyesuaian selaras dengan perkembangan semasa.
Ini bagi memastikan ia kekal relevan sebagai benteng akidah, akhlak dan pemikiran Islam serta tidak terpinggir dalam gelombang penjajahan bentuk baharu melalui teknologi.
“Kalau pondok tidak menguasai digital, teknologi dan AI, orang yang menguasainya akan tenggelamkan pondok hingga berlaku penjajahan baharu,” ujar beliau.
"AI sudah menjadi satu kenyataan di dunia dan kalau kita biar orang luar menguasai, dia tidak jajah seperti dulu tetapi jajah pemikiran serta teknologi kita, " tambahnya lagi.
Beliau menyataan demikian ketika berucap pada Kenduri Rakyat Bersama Warga Institut Pendidikan Islam (Tahfiz/Pondok) Negeri Perak di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini.
Dalam masa sama, Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa dominasi AI oleh pihak luar boleh mencorakkan pemikiran, budaya dan naratif pendidikan masyarakat tanpa disedari.
Tambah beliau, penguasaan teknologi tidak bermaksud mengabaikan asas agama, malah perlu disepadukan dengan al-Quran, hadis, akhlak, sejarah dan tamadun Islam supaya naratif pendidikan tidak ditentukan pihak asing.
Terdahulu, ketika pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM150 juta bagi menambah baik prasarana sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz, termasuk menggantikan peralatan pengajian usang di institusi pondok berdaftar.