KUANTAN, 24 April - Kerajaan Negeri Pahang mengambil langkah proaktif dengan menggandakan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang daripada RM30,000 kepada RM60,000.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan yang diberikan itu meningkat sebanyak 100 peratus berbanding sebelumnya.
"Kita tambah 100 peratus daripada peruntukan sebelum ini daripada RM30,000 menjadi RM60,000 dan baru-baru ini peruntukan Aidilfitri pun kita beri RM5,000," kata Wan Rosdy.
Beliau bercakap kepada media selepas selesai Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang berlangsung di Wisma Sri Pahang, di sini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa DUN Pahang telah meluluskan pelantikan dua senator baharu bagi mewakili negeri itu di Dewan Negara susulan tamat tempoh pelantikan senator sebelum ini.
Katanya, Pahang mempunyai dua kuota Senator dan pelantikan kali itu melibatkan seorang wakil wanita dan seorang wakil daripada masyarakat Orang Asli.
Senator pertama ialah Norhasmimi Abdul Ghani yang berasal dari Jerantut, Pahang dan memiliki kelulusan dalam bidang Undang-Undang Syariah dan Undang-Undang Sivil dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Senator kedua pula ialah seorang anak jati Temerloh, Shahrol Wizan Sulong yang merupakan Ketua Umum Penyelaras Pembangunan Masyarakat Asli Pahang (PEPIMA).
Beliau berkelulusan dalam bidang dakwah dan pengajian Islam daripada Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi dan Pusat Pengajian Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA), Pahang.