CYBERJAYA, 24 April- Isu kesilapan cetakan Jalur Gemilang tidak sepatutnya berulang lagi terutamanya membabitkan agensi kerajaan, demikian tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata tindakan wajar perlu diambil terhadap pegawai bertanggungjawab memandangkan isu tersebut menyentuh maruah dan imej negara.
"Ini soal imej negara. Kalau kita boleh mengambil tindakan kepada sebuah media cetak tertentu, kenapa kita tidak boleh ambil tindakan kepada agensi kerajaan sendiri.
"Perkara ini tidak ada kompromi bagaimanapun saya fikir sepatutnya perkara itu tidak berulang lagi kerana ini adalah imej negara," katanya.
Beliau ditemui media selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di sini.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) memohon maaf susulan kesilapan paparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
KPM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan tegas akan diambil serta-merta terhadap individu terlibat selain telah meminta semua pihak memulangkan semula laporan analisis tersebut untuk pembetulan segera.