fb fb fb fb fb

Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser tarik penyertaan luar negara

Foto RTM

RAUB, 10 Jun-Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser Kali Ke-35 berjaya menarik penyertaan sebanyak 32 pasukan tahun ini berbanding 15 pasukan tahun lalu.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, peningkatan jumlah peserta ini termasuklah 72 peserta antarabangsa, 24 peserta Sabah dan Sarawak serta 96 peserta gabungan.

Menurutnya, kadar peningkatan penyertaan ini didorong oleh kemunculan empat spesies burung migrasi dari Siberia, Rusia dan rangkaian Pulau di Utara Selatan yang jarang ditemui di Bukit Fraser selepas tiga tahun.

“Di Bukit Fraser terdapat melebihi 250 spesies burung dan yang paling terkenal atau pun ikon kita adalah 'Silver Eared Mesia' dan saya dapati baru-baru ini kita dapat empat spesies yang kembali semula selepas tiga tahun iaitu White Crown Hornbill, Dusky Broadbill, Chestnut Semiter Babbler dan Green Broadbill", katanya demikian selepas  Flag Off Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser Kali Ke-35 di Bukit Fraser, di sini.

Acara tahunan yang telah diadakan sejak tahun 1988 ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Bird Life International dan ditaja oleh beberapa jenama besar pengeluar kamera dan barangan aksesori kamera.

Pada tahun ini, Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser terbahagi kepada tiga kategori iaitu Advance, Novice dan Student selain beberapa aktiviti pengisian turut diadakan iaitu wacana (bird talk), pertandingan fotografi, pameran dan lawatan berpandu secara percuma (complimentary guided tour).

Penganjuran ini merupakan usaha untuk mewujudkan jaringan sinergi antara Tourism Pahang dan agensi-agensi luar yang terlibat secara langsung bagi menjayakan program ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD