fb fb fb fb fb

Jadual penerbangan ambil kira keputusan syarikat

Hasbi Habibollah

LABUAN, 27 September- Keputusan untuk menambah penjadualan penerbangan khususnya perjalanan domestik seperti ke dan dari Labuan terletak pada keputusan akhir syarikat penerbangan komersial, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau menjelaskan kementeriannya hanya mempunyai kuasa untuk meluluskan penerbangan baharu atau tambahan, namun sebarang peningkatan jadual penerbangan ke destinasi tertentu perlu diputuskan oleh syarikat penerbangan berkenaan berdasarkan faktor muatan penumpang.

"Jika terdapat permintaan tinggi, Kementerian Pengangkutan sedia meluluskan penambahan jadual penerbangan, seperti yang berlaku di destinasi lain seperti Tawau yang kini mempunyai penerbangan terus dari China," katanya ketika melakukan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Labuan di sini hari ini.

Hasbi berkata kekurangan jadual penerbangan ketika ini menyebabkan pelancong, ahli perniagaan tempatan dan penduduk setempat mengalami kesukaran melakukan perjalanan, sekali gus mengundang kekecewaan.

Beliau turut menyeru pihak berkuasa tempatan dan organisasi pelancongan agar bekerjasama meningkatkan permintaan penerbangan dengan mempromosikan Labuan sebagai destinasi menarik, memandangkan 2026 merupakan Tahun Melawat Malaysia.

SITI AISHAH MD ISA