fb fb fb fb fb

'Pertahan perpaduan, belajar dari tokoh-tokoh terdahulu' - Kata Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

JOHOR BAHRU, 25 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa golongan muda untuk meneruskan tanggungjawab memperkukuh semangat perpaduan antara kaum dalam negara, seperti yang telah dilaksana tokoh-tokoh terdahulu. 

Beliau mahu golongan muda untuk tidak meremehkan konsep perpaduan kerana ia merupakan kunci kepada kekuatan dan juga kehancuran negara.

Katanya untuk terus menyubur konsep perpaduan, beliau menyarankan agar Kementerian Perpaduan dapat menerobos ke setiap akar umbi yang bermula di peringkat sekolah lagi.

"Perjuangan dan jasa tokoh-tokoh terdahulu dalam mencapai kemerdekaan negara dengan menyatupadukan pelbagai kaum perlu sentiasa diingati.

“Bapa-bapa kita berjasa untuk menyatukan pelbagai kaum. Bermula dari Tanah Melayu, dengan Melayu, Cina, India, dengan kerjasama suku kaum kecil lain.

“Kemudian juga ada pelbagai suku kaum, Sabah dan Sarawak, itu jasa mereka (generasi terdahulu).

“Tanggungjawab anak-anak muda, jangan anggap perkara ini satu ketentuan yang boleh diremehkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2024 di Johor Bahru pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Minggu Perpaduan yang bermula 23 Mei akan tamat esok.

Sambutan Minggu Perpaduan anjuran Kementerian Perpaduan Negara adalah inisiatif di bawah agenda perpaduan nasional yang merangkumi tiga kluster utama iaitu Semarak Perpaduan, Semarak Kenegaraan dan Komuniti Rahmah.

Ia bermatlamat menyemarakkan semangat perpaduan selain menyebarluaskan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN