fb fb fb fb fb

Konsep Bangsa Johor bukti perpaduan dicapai - Onn Hafiz

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 25 Mei - Konsep Bangsa Johor yang wujud sejak tahun 1920 menjadi bukti kejayaan semangat perpaduan yang dicapai di negeri itu sehingga kini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata masyarakat di Johor bangga dengan slogan itu kerana terdapat keberkatan dalam perpaduan di peringkat negeri.

"Bangsa Johor ternukil pada tahun 1920 oleh Sultan Ibrahim di mana Almarhum mahukan Johor mempunyai perpaduan di peringkat negeri, masyarakat berbilang kaum dapat bersatu padu untuk membangunkan negeri yang kita cintai. Alhamdulillah semangat perpaduan negeri telah kita capai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini.

Dalam ucapannya, Onn Hafiz turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak pernah mengetepikan pembangunan Johor dan meluluskan pelbagai pelebaran lebuh raya dan projek meskipun sibuk menguruskan negara.

Beliau juga berharap berkat program perpaduan yang dilaksanakan dapat meneruskan agenda untuk membangunkan negeri dan negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN