fb fb fb fb fb

Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 berjalan lancar

Datuk Fahmi Fadzil ditemui selepas meninjau Program Riuh Merdeka di Putrajaya.

PUTRAJAYA, 30 Ogos - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berpuas hati dengan kelancaran persiapan Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya esok.

Beliau berkata, raptai penuh semalam juga berjalan dengan baik melibatkan agensi kerajaan serta penyertaan kira-kira 2,000 pelajar sekolah menengah melalui persembahan Human Graphic.

“Alhamdulillah setakat semalam raptai penuh saya lihat semua berjalan baik dan lancar. Mutu persembahan terutama daripada Human Graphic yang melibatkan 2,000 pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Empat dari pelbagai sekolah sangat bertenaga dan bersemangat. Hari ini kita tetapkan sebagai cuti supaya mereka dapat cukup rehat untuk membuat persembahan terbaik sempena Hari Kebangsaan esok,” katanya.

Datuk Fahmi berkata demikian selepas meninjau Program Riuh Merdeka di Putrajaya yang dianjurkan MyCreative Venture sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Program selama 30 jam tanpa henti itu menghimpunkan lebih 30 vendor produk tempatan serta penganjuran Konsert Riuh Merdeka menampilkan beberapa artis terkenal tanah air.

Pada masa sama, beberapa agensi kerajaan turut membuka ruang pameran termasuk MyDigital ID, Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi memberi kemudahan kepada pengunjung.

TUN JULIA MOHD TAHIR