PUTRAJAYA, 8 Februari- Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin COVID-19 serta kos yang berkaitan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini susulan sebahagian proses perolehan itu tidak mengikut peraturan dan ditandatangani menteri tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.
"Perkara itu akan diselenggarakan oleh Menteri Kesihatan, Dr.Zaliha Mustafa.
“Perolehan bagi sesetengah vaksin ini amat diragui dari segi jumlah dan kos yang terlibat
"Saya terkejut tetapi kami perlu membuat keputusan mengenainya.
"Soal utama juga bukan siapa menteri, tetapi menteri-menteri terlibat perlu jawab dan memberi penjelasan berhubung perkara itu." katanya tanpa mendedahkan menteri terlibat.
Anwar bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini.
(Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa akan memperincikan perkara tersebut apabila Kertas Putih berkenaan
dibentangkan nanti)
Memetik laporan Bernama, Kementerian Kewangan (MoF) sebelum ini menurunkan kuasa kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian masing-masing.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk memudah cara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).