fb fb fb fb fb

Permohonan sertai TUDM dalam kalangan bukan Melayu meningkat

Mohd Asghar Khan Goriman Khan

SUBANG, 7 Disember- Permohonan untuk menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kalangan kaum bukan Melayu menyaksikan trend peningkatan bagi empat sesi pengambilan terkini.

Panglimanya, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, tiada kuota khusus yang mengehadkan penyertaan bukan Melayu dalam bidang berkenaan.

Sehingga kini, TUDM mempunyai 12 peratus pegawai dan anggota dalam kalangan bukan Melayu.

"TUDM tidak pernah memberikan apa-apa kuota untuk kemasukan ke TUDM. Setakat ini, (terdapat) lebih 12 peratus bangsa lain dalam TUDM.

"Ia terbuka (serta) bergantung kepada minat dan semangat patriotik," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM 2023 di Pangkalan Udara Subang di sini.

Secara purata sekitar 13,500 pemohonan diterima bagi setiap sesi pemilihan anggota, manakala kira-kira 4,500 permohonan bagi pengambilan pegawai setiap tahun.

Bagaimanapun, kebanyakan yang memohon itu tidak memenuhi syarat dan kriteria asas untuk menyertai TUDM.

Dalam perkembangan lain, Mohd Asghar memaklumkan, perolehan 12 buah pesawat helikopter TUDM seperti yang diumum dalam Belanjawan 2024 akan melalui proses tender secara terbuka.

Tender dijangka bermula awal tahun depan itu terbuka kepada syarikat yang berkeupayaan menyediakan helikopter mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Pembelian pesawat baru ini (akan dibuat) sebelum hujung 2024. Untuk pembelian 12 pesawat baharu, TUDM berhasrat melaksanakan tender secara terbuka.

"Kita akan mempelawa syarikat-syarikat lain untuk mempamerkan aset yang berkeupayaan untuk melaksanakan tugas-tugas yang ada dalam spesifikasi TUDM.

"Perolehan 12 helikopter baharu itu akan meningkatkan keupayaan penugasan Combat Search and Rescue (CSAR), Search and Rescue (SAR) dan utiliti," katanya lagi.

Penambahan aset berkenaan juga bagi menampung jurang keupayaan pesawat helikopter sedia ada yang kini digalas sepenuhnya oleh 12 pesawat helikopter EC 725 AP.

Sementara itu, Mohd Asghar berkata, Surat Setuju Terima (SST) telah ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Korea Aerospace Industries (KAI) sejak Original Equipment Manufacturer (OEM) pada 24 Februari lalu bagi perolehan 18 buah pesawat FA-50M.

SITI AISHAH BINTI MD ISA