MAKKAH, 3 Jun- Lebih 1,300 soalan diterima Unit Bimbingan Haji yang dibangkitkan oleh para jemaah melalui perkhidmatan E-TAIB menerusi aplikasi THhujjaj, terutama melibatkan kesangsian mengenai larangan ihram, fiqh jemaah wanita dan bayaran dam.
Menurut Pengurus Bimbingan Haji Mekah, Shahrin Awaludin, semua soalan tersebut lebih kepada pengesahan untuk para jemaah, bagi memastikan ibadat dijalankan mematuhi Rukun Haji.
Terdapat juga soalan diajukan oleh jemaah haji yang belum bertolak ke Tanah Suci.

(Perkhidmatan E-TAIB terima lebih 1,300 soalan berkaitan haji)
Ketika ini, seramai empat orang petugas diberikan tanggungjawab menyelesaikan soalan-soalan tersebut, selain tiga pakar rujuk, jika terdapat soalan baharu dan sukar.
Operasi Unit Bimbingan terutama melibatkan soalan dalam perkhidmatan E-TAIB itu pada waktu ini adalah selama 18 jam dan akan ditambah kepada 24 jam, 2 minggu sebelum dan selepas Wuquf.
E-TAIB menyediakan tabung soalan mengikut kategori dan mesra pengguna.
Beliau menjangkakan akan menerima lebih 5,000 soalan sepanjang musim haji tahun ini.
Mengikut rekod, 1,000 soalan diterima menerusi aplikasi berkenaan semasa musim haji tahun lalu.