fb fb fb fb fb

PERKESO sasar lebih 14,000 penempatan pekerjaan di Sabah

Foto hiasan

KOTA KINABALU, 13 Julai - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan sekurang-kurangnya 14,500 penempatan kerja di seluruh negeri Sabah pada tahun ini.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah, Dr Mohd Ali Hindia berkata, pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs Negeri Sabah 2025 pelbagai pekerjaan ditawarkan termasuk sektor minyak dan gas, perkhidmatan dan kejuruteraan.

Tawaran pekerjaan tersebut selaras keperluan pasaran kerja masa hadapan khususnya para graduan di Sabah.

"Kita memberi peluang kerjaya kepada anak-anak Sabah kita untuk mendapat tempat bekerja. Jadi, kita harap pada masa akan datang, program ini akan mendapat minat pada graduan kita untuk mencari peluang yang ditawarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs Negeri Sabah 2025 di Dewan Maksak Likas, di sini.

Semalam lima pencari kerja berjaya menerima tawaran serta-merta selepas sesi temu duga hari pertama karnival itu.

Program selama dua hari ini yang berlangsung di Dewan Maksak Likas, di sini turut mencatatkan lebih 700 pendaftaran pencari kerja, dengan 459 daripadanya hadir secara fizikal pada hari pertama karnival.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI