JOHOR BAHRU, 22 Februari- 25,000 usahawan di negara ini disasarkan untuk mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sepanjang tahun ini.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) turut mewajibkan mereka mendaftar bagi memperoleh faedah jangka panjang sekiranya ditimpa musibah.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, menerusi kempen proaktif yang dijalankan bersama PERKESO, ia bermatlamat memastikan jaringan keselamatan sosial diperluaskan lagi khususnya dalam kalangan usahawan.
"Saya tengok kebaikannya adalah usahawan terlibat ibarat dapat pencen seumur hidup, kita di kementerian melalui Tekun mahu bantu usahawan yang bekerja sendiri tanpa menyusahkan mereka.
"Jadi inilah hasrat Perkeso, masa depan mereka dari segi jaringan keselamatan dan juga simpanan mereka,"kata Noh.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Usahawan Tekun, di Johor Bahru.
Sehingga 18 Februari lalu, 360,469 individu atau 15% Orang Bekerja Sendiri (OBS) di negara ini telah mencarum dengan SKSPS.
Sementara itu, lebih RM6 juta telah dibayar oleh Perkeso kepada seramai 2,142 penerima faedah dalam kalangan OBS.