fb fb fb fb fb

Perkasa tatakelola, kejayaan Kerajaan MADANI

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Januari Tahun 2025 dan Amanat Tahun Baharu 2025 di Puspanitapuri/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 3 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan usaha kerajaan memperkasa tatakelola di pelbagai peringkat merupakan satu kejayaan buat Kerajaan MADANI.

Beliau berkata perkara tersebut dapat dilihat apabila tiada skandal atau kes yang boleh dipalitkan kepada kerajaan dalam tempoh dua tahun ini.

“Saya nak sebut dalam tempoh dua tahun ini, saya syukur kepada Allah kerana kita menjalankan proses tender yang telus dan tidak ada satu pun skandal besar diungkapkan dalam tempoh dua tahun ini.

“Bagi saya ini kejayaan yang lebih besar. Kita ada keupayaan dan tidak boleh menyelesaikan semua masalah, negara ini negara hukum (ada undang-undang) dan kita harus mengambil keputusan berdasarkan tatakelola yang baik", katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar juga mengarahkan semua program dan projek asas untuk rakyat yang amat memerlukan seperti membasmi kemiskinan tegar dan tebatan banjir disegerakan.

Beliau berkata unjuran projek yang mengambil masa lama untuk disiapkan perlu dirombak semula dan diselesaikan dalam tempoh yang singkat sebaik mungkin.

“Saya setuju dalam perbincangan, kita harus rombak itu semua, kalau banjir itu mengorbankan nyawa, mengorbankan harta, tidak perlu tunggu sehingga enam tahun.

“Jadi, ini hal yang harus diteliti oleh semua KSU (Ketua Setiausaha kementerian). Kalau tidak, KSU baharu datang, kemudian tengok skim banjir untuk tebatan banjir (sebagai contoh) fasa 1 Rantau Panjang (Kelantan) dah siap, fasa kedua tahun 2026, fasa ketiga 2029. Jadi, orang Rantau Panjang perlu tunggu 15 tahun baharu nak siap", katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 dalam Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

 

ROSLINA BINTI DIN