fb fb fb fb fb

Perjuangan membela Palestin tanggungjawab moral, bukan sekadar simpati – Datuk Mohd Na’im

Menegakkan keadilan serta menolak kezaliman / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Perjuangan membela nasib rakyat Palestin bukan sekadar didorong oleh simpati, sebaliknya merupakan tanggungjawab moral dan semangat umat Islam untuk menegakkan keadilan serta menolak kezaliman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr.Mohd Na’im Mokhtar, berkata Malaysia sejak dahulu lagi dikenali sebagai suara moral dunia dalam memperjuangkan isu Palestin di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, dasar luar negara juga berpaksikan prinsip berkecuali dalam politik kuasa besar, namun tetap jelas berpihak kepada nilai keadilan dan kemanusiaan.

“Walaupun wujud perbezaan politik, semua pihak boleh bersatu, baik yang beragama Islam mahupun bukan Islam, apabila menyentuh isu Palestin dan Gaza.

“Tidak kisahlah sama ada usaha bermula daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun kerajaan, yang pentingnya, dalam konteks negara kita, berbeza dengan negara lain. NGO boleh melaksanakan kerja-kerja dokumentasi, manakala kerajaan memberi tumpuan kepada diplomasi di peringkat tertinggi, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Yang paling penting, kerajaan menyokong 100 peratus segala usaha yang dilakukan oleh MAPIM dan NGO lain dalam membantu rakyat Palestin. Kerajaan tidak mampu untuk bertindak bersendirian. Sebab itu, walaupun terdapat perbezaan politik, apabila melibatkan isu Palestin dan Gaza, semua pihak boleh bersatu, baik Islam mahupun bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Ensiklopedia Gaza 101: Kompilasi Eksklusif Pelaporan Projek Kemanusiaan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), sempena program Himpunan dan Selawat “Malaysiaku Bersama Gaza” serta Karnival Sumud Nusantara 2025, yang berlangsung di ibu negara hari ini.

HASRON BIN HASSAN