fb fb fb fb fb

MAPIM buktikan usaha kemanusiaan Malaysia melalui Gaza 101

MAPIM lancar Ensiklopedia Gaza 101 sebagai rujukan utama dan rangka kerja NGO serta pihak berkaitan / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Inisiatif penerbitan naskhah Ensiklopedia Gaza 101 disifatkan sebagai usaha rintis yang bakal menjadi rujukan utama serta rangka kerja kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkaitan dalam mengumpul rekod penyaluran bantuan Malaysia ke Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim berkata dokumentasi tersebut sekali gus menangkis dakwaan bahawa bantuan negara ini tidak sampai kepada rakyat Palestin.

“Sudah tiba masanya ada sebuah direktori atau ensiklopedia bagi meningkatkan keyakinan penderma serta memberi kefahaman bahawa Malaysia mempunyai banyak sentuhan di Gaza.

“MAPIM mengharapkan siri pertama ini akan diikuti oleh NGO lain seperti Cinta Gaza Malaysia bagi siri kedua dan seterusnya, sehingga mampu mencapai 10 siri pada tahun depan. Itu adalah aset berharga yang membuktikan usaha Malaysia bukan sekadar kata-kata, sebaliknya mempunyai asas serta bukti kukuh,” katanya ketika ditemui pemberita , di sini.

2308 CEO MAPIM BUKU GAZA 101 2Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim / Foto Bernama

Antara rekod penting yang didokumentasikan termasuk pembinaan 10 buah masjid, penghantaran lebih 12 kontena bantuan makanan, penyediaan 12 ambulans, pemberian biasiswa, penjagaan anak yatim serta projek pembangunan ekonomi setempat.

Peluncuran Ensiklopedia Gaza 101: Kompilasi Eksklusif Pelaporan Projek Kemanusiaan MAPIM disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, sempena Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza serta Karnival Sumud Nusantara 2025 di ibu negara.

Menurut Ahmad Sani, pada fasa pertama, ensiklopedia itu akan diedarkan dalam bentuk bercetak kepada kementerian, masjid, NGO dan pihak berkaitan.

“Pada fasa kedua pula, ia akan diperluas dalam bentuk e-buku serta laman sesawang khas Gaza 101, bagi membolehkan orang ramai meneliti rekod bantuan, pemetaan projek dan perkembangan terkini sumbangan Malaysia di Gaza,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN