fb fb fb fb fb

Ensiklopedia Gaza 101 jadi bukti kukuh usaha Malaysia di Palestin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika hadir pada Majlis Peluncuran Ensiklopedia Gaza 101 anjuran MAPIM Malaysia pada Karnival Sumud Nusantara 2025 / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Badan bukan kerajaan (NGO) lain diseru mencontohi langkah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang mendokumentasikan inisiatif kemanusiaan dalam bentuk ensiklopedia Gaza 101, sebagai edisi berterusan menghimpunkan bukti projek Malaysia di Gaza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, arkib kolektif seperti itu bukan sahaja menjadi rujukan sejarah, malah dokumen diplomasi dan bukti jelas pendirian Malaysia dalam memperjuangkan Palestin di pentas dunia.

“Perancangannya kini sudah ada Siri 1 dan 2, dan akan datang Siri 3. Kita berharap NGO lain yang turut berada di lapangan juga mendokumentasikan usaha mereka. Arkib seperti ini akan menjadi bukti kukuh bahawa bantuan Malaysia di Gaza bukan sekadar kata-kata, tetapi hadir dengan program dan usaha nyata,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meluncurkan Ensiklopedia Gaza 101: Kompilasi Eksklusif Pelaporan Projek Kemanusiaan MAPIM sempena Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza serta Karnival Sumud Nusantara 2025 di ibu negara.

Menurutnya, buku berkenaan menghimpunkan 101 program dan aktiviti bantuan yang telah dilaksanakan Malaysia di Gaza, sekali gus memperlihatkan sokongan negara yang konsisten dan boleh dijadikan rujukan sejarah serta bahan diplomasi antarabangsa.

Ensiklopedia Gaza 101 merupakan dokumentasi eksklusif misi kemanusiaan MAPIM di Gaza dan akan diterbitkan secara berterusan dalam siri berikutnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN